text

Perkongsian Pengalaman

Sabtu, 18 Jun 2011

PERSIAPAN JK PROMOSI MENJELANG PERSIJILAN SEMULA 5S

Bunting yang disediakan oleh JK Promosi

Poster turut disediakan
Countdown Persijilan Semula 5S

Khamis, 16 Jun 2011

MOTIVASI - Berfikiran Positif dan Optimis Resepi Kejayaan

Dunia seakan-akan gelap. Seolahnya tiada lagi cahaya yang menyuluh. Apakah ini pengakhiran yang kita mahukan? Kejayaan adalah memaksimumkan potensi kita untuk merealisasikan matlamat utama kita dalam perjalanan hidup. Semua insan pernah gagal. Kerana gagal adalah guru. Apabila kita berusaha untuk mencapai sesuatu, kita berjaya kerana kita tahu cara untuk mencapai matlamat kita. Bijak pandai pernah berkata, "Sama ada kita menjadi abu atau menjadi seekor merak, ia terpulang pada diri kita sendiri."

Sebenarnya, hidup kita bukan sekadar bergantung pada setiap apa yang berlaku pada kita dan sekeliling, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita memberi tindak balas terhadap apa yang berlaku. Sayangi diri. Buatlah sesuatu demi kebaikannya dan yang memberi manfaat buatnya. Ia bukan bermakna pergi spa 30 hari sebulan, tetapi lebih dari itu.


Kisah Guru Dan Murid

Seorang guru pernah bertanya pada anak muridnya, "Adakah kamu semua menyayangi diri sendiri?" 
Dan para murid menjawab, "Ya! Kami sayang diri kami!" Ujar guru itu, "Bagaimana cara kamu semua menyayangi diri sendiri?" 
"Belajar sungguh-sungguh!"

"Jaga hati!"

"Pakai topi keledar!''

Maka kata si guru,

"Benar. Tetapi ia lebih dari itu. Terimalah diri kamu, tiada manusia yang sempurna. Hormatlah maruah kamu, ia tidak pernah meminta untuk diragut melainkan kamu yang membiarkannya. Berikan galakan kepada diri kamu, galakan orang lain tidak cukup buatmu. Rancangkan kejayaan buat diri kamu, jangan biar diri kamu gagal kerana kegagalan yang diterima."

Boleh menangis, menyesal, menjerit sekuat mungkin kerana meratapi kegagalan yang diterima. Tetapi pada esok hari, kamu harus bangun tidur dengan segar dan hilangkan segala kesedihan.

Kenapa?

Kerana berabad-abad sekalipun tangisan dan kekecewaan ia tidak akan merubah apa-apa. Ambil separuh untuk dijadikan iktibar dan ambil separuh untuk dijadikan pendorong.


Kisah Lelaki dan Jadual Penerbangannya

Seorang lelaki mengejar penerbangannya, saat tiba di lapangan terbang, penerbangannya terpaksa dilewatkan kerana kerosakan pada bahagian tertentu. Tetapi dia tidak marah. Katanya, "Bagus!"

Maka orang di sekelilingnya hairan. Bukankah sepatutnya lelaki itu marah.

"Mereka mengambil berat akan keselamatan kita. Bukankah ia bagus?"

"Tetapi.. sukarlah untuk kita mendapatkan penerbangan berikutnya. Kerana kita terpaksa menunggu dengan begitu lama. Sedangkan sekarang kita sedang mengejar masa!"

"Bagus!"

Dan orang di sekelilingnya bertambah hairan.

"Kenapa bagus?".

"Kerana saya dan semua orang dapat bersantai-santai terlebih dahulu. Cuaca di luar sana sangat tidak menyenangkan. Sedangkan kita di sini berada dalam keadaan nyaman dan selesa. Terdapat beberapa buah kusyen empuk di hujung kaunter. Terdapat makanan dan kopi panas di kafeteria. Jadi saya akan memanfaatkan peluang ini, kerana saya sering tidak cukup masa selama ini. Sekarang saya dapat membaca majalah kegemaran saya terlebih dahulu."

Dan orang sekelilingnya merasa kagum dengan lelaki itu. Seraya berkata, "Hebat!"

Itulah dia. Tabiatnya yang positif akan mempengaruhi kelakuan, kata-kata dan pastinya keputusan. Ia memberitahu dunia bahawa sikap positif penting dalam kehidupan. Apa sekali pun tujuan kita, fikir positif. Sentiasa positif dan optimis!

Saya tertarik dengan kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari yang terdapat dalam sebuah buku motivasi "Menuju Kejayaan."

"Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu, saya terus minta dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju biarlah padan dengan badan. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah."

sumber : iluvislam.com

MOTIVASI - Kita Terperangkap Dalam Zon Selesa

Bila menyelusuri beberapa buah blog dan tulisan di dalam facebook teman-teman, sudah ada di kalangan mereka yang mencatat betapa masa begitu pantas berlalu. Baru tersedar bulan Jun sudah menjengah. Tak lama nanti, Disember pun menyusul dan tahun 2011 akan pergi dalam lipatan kalendar.
Ya, masa itu begitu cepat berlari, andainya kita hanya berpusing di atas paksi yang sama, berkitar dalam orbit yang serupa. Jika dari hari ke hari, dari minggu ke minggu dan dari bulan ke bulan kita lakukan perkara yang sama secara berulang-ulang, maka kita sudah jadi umpama robot. Begitulah kita, bila kehidupan sudah dicarta oleh suasana di sekeliling.
Rutin bangun pagi, gosok gigi, pergi kerja, makan tengahari, sambung kerja, pulang ke rumah, makan malam, menonton TV dan kemudian tidur akan dilakukan setiap hari. Kita lalui ia tanpa jemu-jemu. Tanpa sedar kita lakonkan skrip perulangan ini dengan rela hati kerana kita berasa selamat di dalam acuan yang kita cipta sendiri. Zon selesa sudah menjadi kepompong kehidupan diri. Sebab itulah, jiwa meneroka, jiwa mengembara mahupun naluri survival kita sudah tumpul.
Kerana itu, kita aktif dalam sukan bolasepak, boling, skuasy, lumba kereta dan perahu layar. Kita aktif sebagai penyelam skuba, memanjat gunung, mencari artifak di hutan Amazon dan terjun dari kapalterbang dengan kelajuan 80 kilometer sejam. Tetapi kesemuanya kita lakukan sambil mengunyah karipap di depan TV! Kita terlibat dan cemas menghadapi gempa bumi, banjir besar, tanah runtuh, kemalangan, taufan, peperangan, pembunuhan dan pemberontakan. Tetapi kesemua itu pun kita saksikan sebagai penonton.

Sekadar Menjadi Penonton, Bukan Pengubah
Akibat terkurungnya diri di dalam putaran yang kita cipta sendiri, maka kita menjadi insan yang pasif. Apa sahaja yang terjadi pada dunia hanya ditatap. Hanya mata yang merakam. Tetapi otak masih beku untuk simpati, apatah lagi empati. Bila hati dah jemu, kita alih saluran TV untuk menonton hiburan demi hiburan demi hiburan.
Malangnya, di sini pula kita teruja. Perasaan geram, meluat, marah atau pun berasa sedih hingga mengalirkan air mata boleh pula terjadi andainya calon bakat artis pilihan di dalam sebuah rancangan realiti gagal untuk memasuki pusingan seterusnya. Mengapa kita sudah jadi begini?
Tidakkah ada rasa bersalah, apatah berasa rendah diri kerana hanya menjadi penonton dan bukannya pengubah kepada apa yang berlaku di sekeliling kita? Bukankah sedari kecil, kita berani, kita degil, kita suka mencuba apa yang dilarang oleh orang tua kerana jiwa kembara kita yang membara?
Ya, sewaktu kecil dahulu kita boleh bermandi hujan. Hari ini kita berlari dari padang letak kereta ke pejabat semata-mata kerana takut kepala kita pening terkena hujan gerimis. Dahulu, kita boleh terjun ke sungai dan berkubang di dalam sawah. Hari ini, kita terketar-ketar hendak melangkah parit kecil menuju ke gerai pasar malam. Dahulu, kita berani panjat pokok. Hari ini, semangat kita hendak terbang ketika memanjat tangga untuk menyapu sawang di siling rumah.
Seharusnya, semakin kita dewasa, kita menjadi semakin handal, semakin berani dan semakin pakar dalam apa jua bidang yang kita terokai. Hari ini lebih bagus daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Itulah yang seharusnya menjadi semangat untuk memaju diri. Umpama berlian yang semakin lama semakin keras dan semakin tinggi nilainya. Bukan seperti bangkai yang semakin lama semakin busuk, semakin reput dan akhirnya menjadi debu.
Tetapi, kerana terlupa untuk bermuhasabah diri, kita biarkan diri hanyut di arus kehidupan. Hinggakan kita ada kerja, tetapi tiada kerjaya, ada daya tetapi tiada usaha, ada keinginan tetapi tiada hasrat dan ada mimpi tetapi tiada impian. Begitulah bila kita biarkan minda dipengaruhi unsur-unsur dari luar sehinggakan suara hati sendiri telah tenggelam.

Berubah Dengan Menambah
Berubahlah. Berubah dengan menambah. Apakah bahasa baharu, buku baharu, hobi baharu atau surah baru yang sudah dihafal pada tahun ini? Apakah jumlah sedekah kita sudah bertambah? Apakah kita boleh menerima teknologi baru, jika bukan sebagai penciptanya, sekurang-kurangnya sebagai penggunanya?
Kalau kita menutup buku sebaik sahaja kita menyimpan skrol ijazah, kalau kita menutup hati sebaik sahaja kita melipat sejadah, maka kita akan jadi sama seperti orang lain di luar sana. Mereka di luar akan bercakap ~ bukan bertutur, mengagak ~ bukan mentafsir, mengira ~ bukan mencongak, kasihan ~ bukan prihatin dan pandai bertanya tetapi tidak reti menyoal. Kita jadi orang biasa di kalangan orang yang biasa.
Jika dipandang dari langit, kita seperti sekelompok haiwan yang berkulit, berwajah dan bertindak mengikut apa yang dibuat oleh haiwan yang lain. Jika begitulah kita, sukar juga kita menjadi insan terpilih. Kreatifnya Allah Al-Mussawir, membentuk wajah-wajah manusia yang berbeza. Meskipun kita semua mempunyai dua mata, dua telinga, satu hidung dan satu mulut. Tidak ada satu pun wajah kita di antara berbilion manusia yang lain mempunyai yang serupa. Sehinggakan pasangan kembar pun ada perbezaan raut wajahnya. (Yang punyai wajah yang serupa hanyalah pelanduk!)
Oleh kerana tidak ada satu pun manusia yang sama seperti kita, sewajarnyalah kita menjadi insan unik. Punyai identiti, hasrat, impian, iltizam mahupun istiqamah yang lain daripada orang lain. Kita patut begitu kerana bukan orang lain. Kita adalah diri kita.
Kita bukannya stereotaip! Berubahlah.....

sumber : iluvislam.com

Ahad, 12 Jun 2011

PELANCARAN LAGU 5S TNB JITRA


GM Kedah, Tn Haji Suid bin Othman diiringi oleh PK Alor Setar, Encik Abdul Azizbin Yaacob dan Pengurus Cawangan (Jitra), En Husaini bin Shahidan ketika melancarkan lagu 5S TNB Jitra.
Antara anggotakerja TNB Kedah yang turut menyaksikan Pelancaran Lagu 5S TNB Jitra.
Alhamdulillah. Syukur ke Hadrat Ilahi, kerana lagu 5S TNB Jitra yang berjudul 5S Menjana Organisasi Cemerlang telah selamat dilancarkan oleh Pengurus Besar TNB Negeri Kedah, Tuan Haji Suid bin Othman sempena dengan Himpunan Perdana Suku Kedua Tahun Kewangan 2010/2011 yang diadakan pada 12 Jun 2011, bertempat di Dewan Bakawali, Wisma TNB Jitra.
Lagu hasil ciptaan, Mohd Fauzi bin Othman dan lirik ditulis oleh Noor Hisham bin Mat Isa, anggota kerja TNB Jitra.
Dengan pelancaran lagu ini, TNB Jitra telah maju setapak lagi dalam usaha membudayakan Amalan 5S. Lagu ini akan dinyanyikan bersama-sama dengan lagu korporat TNB di dalam Perhimpunan Pagi setiap Ahad. Anggota kerja TNB Jitra diharap agar dapat menghayati lirik yang terdapat di dalam lagu ini. Pastikan, kita lakukan yang terbaik untuk TNB Jitra. Jitra Boleh!

Jumaat, 10 Jun 2011

PERSIAPAN MENJELANG HIMPUNAN PERDANA TNB KEDAH

Pentas yang telah disiapkan. Tahniah.
Karpet sedang dipasang oleh anggota kerja
VP, Tuan Haji Hussin turut melawat
Kerja-kerja pada peringkat awal.